IPOH: Datuk Seri Saarani Mohamad menempelak Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mendakwa kegagalan kerajaan negeri mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti, bakal mewujudkan lagi episod 'katak politik' di negeri itu.

Beliau secara sinis turut meminta pemimpin DAP itu mencermin diri sendiri sebelum membuat tuduhan.

"Ini satu lawaklah. Tengok sejarah 2018, BN (Barisan Nasional) curi orang PH (Pakatan Harapan) ke, PH curi orang BN.

"You tanya pada Nga Kor Ming, 2018 ni, semasa kerajaan PH bentuk kerajaan, dia yang curi orang BN, bukan BN curi orang dia… lawak tu…cermin diri sendiri," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Briged Sukarelawan Banjir BN Perak di Bangunan UMNO Perak di Ipoh, pada Rabu.

Saarani sebelum ini dilapor berkata, usul pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri itu akan dibawa ke sidang DUN selepas RUU Antilompat Parti yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara diwartakan terlebih dahulu.

Bagaimanapun ketika RUU itu diwartakan baru-baru ini, beliau berada di luar negara, justeru tidak sempat untuk membincangkannya dalam mesyuarat Exco bagi tujuan membawa usul untuk mengadakan Sidang DUN khas.

Pada Isnin, Kor Ming mendakwa, tindakan memohon pembubaran DUN tanpa meluluskan RUU berkenaan dilihat sebagai taktik BN menarik wakil rakyat untuk lompat parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, ia membuktikan bahawa BN Perak tidak yakin untuk memperoleh majoriti mudah iaitu memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN kali ini.

Sementara itu, Saarani mengesahkan terdapat beberapa Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Perak telah menyatakan hasrat tidak mahu dicalonkan pada PRU15.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan identiti mereka buat masa ini.

“Ada tetapi tidak boleh umum sekarang sebab saya tidak mahu ia menjadi kelam kabut,” katanya.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad mengumumkan menolak sebarang pencalonan untuk bertanding pada PRU15.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, akan kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian, Pengerusi BN Beruas dan Pengarah Pilihan Raya Parlimen Beruas.

Walaupun belum pernah bertanding, Azhar berkata, beliau mengambil keputusan itu bagi memudahkan kepimpinan parti membuat keputusan.