TANAH MERAH: Ekonomi dapat dijana dan dipulihkan dengan baik sekiranya kestabilan politik dalam negara dapat dicapai dengan cara menukar kerajaan sedia ada, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keadaan ini dapat menarik pelabur dari seluruh dunia, menurut Presiden PKR itu, sambil menambah, dasar ekonomi perlu diberi perhatian untuk membangunkan ekonomi negara ini. 

"Apa yang penting, kena jawab apa dasar ekonomi, bukan hanya berebut nak jadi Perdana Menteri. Jadi, kali ini biarlah kita pula yang dipilih, kerana keutamaan kita adalah ekonomi rakyat.

"Saya bagi pengakuan bahawa, bahasa Melayu, budaya dan ekonomi orang Melayu, kita tak akan sia-siakan. Kedudukan Islam, memartabatkan Islam akan diteruskan.

"Tetapi hak orang bukan Islam, orang Cina, India, Sabah dan Sarawak kita tidak hina dan tak diremehkan," katanya ketika berceramah di hadapan hampir 1,000 penyokong di Kampung Padang Siam, di sini, petang semalam.

Menurut Anwar, beliau hanya mahu berlaku adil kepada semua kaum bukan bermakna beliau harus dilabel sebagai seorang yang liberal.

Katanya, ia adalah bagi memberi keadilan dan manfaat kepada seluruh rakyat.

Dalam pada itu, Anwar turut menyelar dan menyifatkan individu yang memfitnahnya sebagai ejen Yahudi, penyokong LGBT, dan mengangkat kaum Cina, serta individu yang tidak berakhlak.

Sehubungan itu, Anwar turut meminta semua penyokongnya membuat perubahan agar Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya nanti, sekali gus mampu mentadbir urus sistem negara.

“Sekali ini saya minta buatlah perubahan. Kena berani buat pilihan dan pilih kita. Biar kita mentadbir. Kalau gagal, tak mengapalah, tendanglah kita balik,” katanya lagi.