KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddun Hassan mendakwa kenyataan beliau berhubung kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah diambil di luar konteks.

Selain itu, Takiyuddin juga menegaskan tajuk yang digunakan oleh beberapa media telah mengelirukan pengundi.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.

"Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

"Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU-5," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan Takiyuddin sebagai berkata Pas tidak menolak kemungkinan PN akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan secara bersendirian dalam PRU15 ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 78 peratus undi awal setakat jam 1 tengah hari

Takiyuddin berkata PN tidak akan sesekali membentuk gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menguasai Putrajaya.

Kenyataan itu disanggah oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU15.

Muhyiddin menjelaskan, PN berhasrat membentuk kerajaan sendiri tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).