KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini meninjau pusat-pusat pengundian di sekitar ibu negara sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi melihat kelancaran proses mengundi.

Beliau memulakan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Kepong, kira-kira 10 pagi dengan diiringi Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar mengikut peruntukan undang-undang.

Acryl Sani kemudian melawat beberapa lagi pusat mengundi antaranya SK Setapak Indah dan SK Sungai Kertas.

"Setakat ini, keadaan lancar dan terkawal namun dipercayai ramai pengundi yang hadir tidak mengikut masa diberikan (dicadangkan) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk hadir ke pusat mengundi.

"Ada yang kata, mereka mempunyai urusan lain yang tidak dapat dielakkan dan sukar untuk ikuti masa yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di SK Sungai Kertas, Batu Caves hari ini.

Acryl Sani juga dilihat menyapa pengundi di pusat-pusat mengundi bagi bertanyakan khabar dan situasi semasa.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, proses pengundian di seluruh negara berjalan lancar setakat 12 tengah hari.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang provokasi dikesan.

"Rakyat Malaysia (mengundi) dengan berhemah dan berdisplin tinggi," katanya kepada Bernama. - BERNAMA