KUANTAN: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berpendapat, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih sesuai diadakan pada tahun depan.

Menurut Saifuddin, banyak faktor yang perlu diambil kira andai PRU15 tetap mahu diadakan tahun ini termasuk musim tengkujuh yang lazimnya berlalu setiap kali hujung tahun.

“Kita jangka lebih sesuai habiskan tempoh yang sedia ada, yakni sampai tahun depan kerana ini (sekarang) sudah hujung tahun dan kita bimbang banjir .

“Yang (faktor) keduanya bagi kebanyakan orang yang berniaga, mereka baru mula berniaga selepas COVID-19, jadi kalau ada pilihan raya dalam suasana sekarang itu sedikit sebanyak akan mengganggu mereka," jelas Saifuddin.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu turut memaklumkan, majoriti rakan-rakan Ahli Parlimen dan parti politik juga lebih cenderung PRU15 diadakan 2023.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan, keputusan membubarkan Parlimen dan tarikh PRU15 terletak pada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 29 Ogos lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada satu majlis di Kuantan berkata, PRU15 akan diadakan tahun ini.

Malah Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga berpendapat, Perdana Menteri sewajarnya dibiarkan melaksanakan program atau dasar yang telah dirangka untuk kesejahteraan terlebih dahulu sebelum membubarkan Parlimen.