KUALA LUMPUR: Penglibatan langsung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu menjadi keutamaan dalam proses pemilihan calon parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Felo Penyelidikan Majlis Belia Malaysia (MBM), Fauzi Fadzil berkata, ia amat penting dalam memastikan calon yang dipilih parti memenuhi pelbagai kriteria dan tidak hanya penuhi citarasa ketua parti.

"Ini satu perkara yang amat menyedihkan saya di peringkat MBM kerana semua atau kebanyakan parti secara keseluruhan, pemilihan calonnya adalah dari pihak dalaman, dari parti politik sendiri.

"Mereka tiada sidang meja bulat atau libat urus yang memanggil MBM atau NGO lain untuk turut terlibat dan menapis bersama calon-calon yang mereka pertaruhkan dalam penamaan calon kali ini," katanya kepada Astro AWANI menerusi program Malaysia Memilih pada Jumaat.

PRU15 | Dinamika undi golongan belia

Dalam pada itu, beliau menyambut baik parti-parti yang berani menampilkan muka baharu serta orang muda sebagai calon pada PRU kali ini.

"Satu perkembangan baik seperti UMNO menamakan lebih 70% muka baharu di kawasan Parlimen. Ini menunjukkan keterbukaan parti politik lama untuk membuat reformasi dengan tidak terikat kepada senioriti dan mula bergerak ke arah politik baharu di mana karakter, penyelidikan dan penerimaan calon menjadi faktor yang lebih penting dalam parti politik."