LAHAD DATU: Lokasi perniagaan yang terancang dan tersusun diharap dapat disediakan di kawasan Lahad Datu bagi membantu peniaga-peniaga kecil menjana pendapatan.

Menurut pemilik kedai Ku Man De, Amirul Basharullah, 53, tapak perniagaan yang strategik bukan sahaja membantu ekonomi peniaga, tetapi juga memberikan imej yang lebih baik kepada pelancong-pelancong yang hadir di Lahad Datu.

"Saya rasa pihak tertentu boleh ambil satu tempat tertentu yang membolehkan mereka berniaga secara profesional.

"Contohnya, saya ambil di Kuala Lumpur atau tempat lain, mereka ada satu tempat di mana peniaga boleh berkumpul di situ.

"Selain mencantikkan bandar, ia akan menjadi satu bandar yang terancang kerana saya harap satu hari nanti Lahad Datu bukan hanya pekan tetapi menjadi bandar yang terancang dan hebat di Malaysia," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Rabu.

.

Amirul yang juga seorang tukang masak menambah, kelebihan yang dimiliki Lahad Datu, termasuk sektor pertanian dan pelancongan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memacu ekonomi penduduk setempat.

Sementara itu, usahawan biskut bangkit, Sarimah Manan, 46,  berkata, karnival-karnival perniagaan wajar diperbanyakkan bagi membolehkan usahawan mikro memasarkan produk-produk mereka.

"Untuk Bahagian Lahad Datu ini, kalau boleh adakan satu karnival besar-besaran untuk usahawan dan sentiasa buat untuk membantu usahawan macam kami memperoleh keuntungan yang lebih," ujarnya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Hanya tinggal janji Ismail Sabri sebagai PM - Dr Mahathir
 
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!

.

Sarimah menambah setakat ini bantuan daripada Yayasan Usaha Maju Sabah dan  Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) sedikit sebanyak meringankan bebannya.

Produk biskut bangkit yang diusahakan Sarimah sejak 2006 kini telah dipasarkan ke beberapa lokasi termasuk di Kuala Lumpur.

Senada dengan Sarimah, usahawan sambal bilis pucuk ubi, Kasmah Lasake, 46, pula berkata dia terpaksa menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk keluarannya.

"Buat masa ini kekangan kami susah nak promosi, itu pun kami kena usahakan sendiri melalui media sosial sebab kami jauh daripada bandar besar.

"Contohnya pergi Kota Kinabalu dan kebanyakan meraka akan buat karnival usahawan buat di sana. Kami terpaksa pergi sendiri dan tanggung kos untuk bawa produk," katanya yang baru dua tahun menghasilkan produk sendiri.

Selain nasib peniaga kecil, Amirul dalam masa yang sama turut menyuarakan kebimbangan mengenai ancaman buaya, yang didakwa memasuki kawasan pekan dan kampung.

"Setiap kali saya balik kampung saya akan tengok buaya lepak di merata-rata tempat dan di kampung-kampung seperti Kampung Air, atau Kampung Panji.

"Keberadaan haiwan ini ada yang telah tular di mana buaya-buaya berada di bawah rumah, dan itu  yang saya rasa satu ancaman yang baharu," tambahnya.

Parlimen Lahad Datu menyaksikan persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), melibatkan calon Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Yusof Afdal; Datin Maizatul Akmam Alawi (Barisan Nasional (BN)) serta calon Pakatan Harapan (PH), Sia Yu Hock.