TAPAH: Majikan perlu memberi kelonggaran kepada pekerja masing-masing untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, atau berdepan tindakan jika ingkar.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan, perkara itu perlu dipatuhi oleh majikan kerana ia merupakan hak pekerja untuk menunaikan tanggungjawab berkenaan.

"Ini merupakan hak warga Malaysia berusia dari 18 tahun dan ke atas untuk mengundi. Jadi saya minta majikan akur kepada keputusan kerajaan.

"Mereka perlu membenarkan pekerja keluar untuk mengundi, sama ada beri cuti peristiwa, cuti ganti atau rehat beberapa jam untuk keluar mengundi," katanya.

Beliau berkata, majikan yang ingkar boleh dikenakan tindakan berlandaskan peraturan ditetapkan.

"Kita akan tengok macam mana (kalau majikan tidak benarkan pekerja keluar mengundi), mungkin kita akan ambil tindakan mengikut peraturan," katanya lagi.

Sementara itu, menyentuh isu PRU15 yang didakwa tidak sesuai dilaksanakan kerana musim banjir, beliau merangkap Timbalan Presiden MIC berkata, itu hanya alasan dan helah pembangkang.

"Pelbagai fitnah, pelbagai tuduhan... hujan pun jadi alasan. Kalau betul hujan saya sudah sebut Perdana Menteri di bawah kerajaan hari ini ada rancangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali di Dewan Mahatma Gandhi, di sini pada Ahad.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 2,500 masyarakat India di Tapah bersempena sambutan Deepavali tidak lama lagi.