KUALA LUMPUR: MIC akan kekal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, umum presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi mengenai penyertaannya dalam pilihan raya berikutan kekecewaan berhubung peruntukan kerusi bagi calon Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, parti itu berpuas hati dengan kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

"MIC memutuskan ia satu keputusan yang adil oleh kepimpinan gabungan berkenaan kerusi yang diberikan kepada parti kami," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat parti itu selama kira-kira dua jam, pada Rabu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRU15: Senarai calon-calon Parlimen BN dan PN

Pada Selasa, media melaporkan tiada wakil MIC yang hadir pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengenai keadaan itu, Vigneswaran berkata pihaknya tidak memboikot majlis berkenaan.

"Bukan boikot, kita tak boikot. Saya mahu tunjukkan kepimpinan baik di mana keputusan diambil secara sebulat suara, sebab kita ada resolusi tentang semua keputusan berkaitan pilihan raya harus diambil oleh ahli majlis tertinggi.

"Jadi kerusi yang kita tukar dan sebagainya, perlu dapat persetujuan. Tanggungjawab saya adalah untuk pastikan semua ahli jawatankuasa pusat MIC memahami situasi dan keadaan supaya mereka boleh bekerjasama dan gembira dengan keputusan yang diambil," jelasnya.

Pada PRU14 yang lepas, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Nov sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 15 Nov dan hari pengundian pada 19 Nov.