KUALA LUMPUR: MIC akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun terdapat desas-desus mengatakan kerusi itu perlu diserahkan kepada calon UMNO.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata sekiranya terdapat permintaan berhubung pengagihan kerusi sesama parti di bawah Barisan Nasional (BN), perkara itu akan dibincangkan di peringkat akar umbi terlebih dahulu bagi mengambil pendekatan bersesuaian untuk memenangi kerusi berkenaan.

"Situasi sama pernah wujud sebelum ini dari segi permintaan untuk 'bertukar' kerusi, (namun) pucuk kepimpinan BN terdiri daripada empat parti penting akan bincang di peringkat BN," katanya kepada Bernama hari ini.

Terdapat ura-ura bahawa UMNO Bahagian Hulu Selangor mahu mempertaruhkan calon UMNO bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU15, bagi membuktikan kemampuan parti itu untuk merampas kerusi berkenaan daripada PKR.

Pada PRU14, calon BN daripada MIC Datuk P. Kamalanathan gagal mempertahankan kerusi itu setelah tewas kepada calon PKR June Leow Hsiad Hui dengan majoriti 13,391 undi.

Parlimen Hulu Selangor adalah antara kerusi tradisi MIC dan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel pernah memenangi kerusi berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada 1990, 1995, 1999 dan 2004.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata sebarang desakan untuk bertukar calon atau kerusi boleh merencatkan potensi kemenangan BN, selain berkemungkinan mengurangkan sokongan daripada masyarakat India bukan sahaja di kawasan tertentu malah juga secara keseluruhannya.

"Kita lihat pucuk kepimpinan BN amat rasional selama ini sebagai rakan kongsi kuasa dalam menentukan pembahagian kerusi," kata Saravanan.

-- BERNAMA