KUCHING: Persekutuan Malaysia boleh menjadi kuat sekiranya menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan menurunkan kuasa dalam bidang pendidikan serta kesihatan kepada Sabah dan Sarawak.

Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, menyerahkan kuasa autonomi kepada Sarawak dan Sabah akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Disebabkan itu beliau berikrar akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan Sarawak mendapat lebih autonomi dalam kedua-dua bidang jika Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Desentralisasi dalam kedua-dua perkara itu perlu bagi memastikan Persekutuan Malaysia lebih kuat dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) akan memberi hubungan bermakna antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

"Desentralisasi dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan adalah penting kerana saya percaya, pada penghujung hari, Persekutuan Malaysia kita hanya boleh menjadi kuat apabila kita menghormati MA63," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah politik dengan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Stampin, Chong Chieng Jen di medan selera Gala City di sini pada Rabu.

Selain itu katanya, beliau turut menyokong apabila Sarawak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di negeri ini dan menyediakan formula silibus sendiri.

"Jika ia berkesan di Sarawak, kita mungkin akan menggunakan kaedah itu di negeri lain.

"Lihatlah apa yang dilakukan oleh Presiden China terhadap eksperimen Shanghai yang berjaya kemudian direplikasi di tempat lain," katanya.

Sementara itu katanya, pengagihan kuasa yang bermakna dan peruntukan sumber yang lebih adil akan memastikan wilayah ini dapat mengejar kemajuan pembangunan setanding dengan negeri lain di semenanjung.

Bahkan katanya, beliau juga percaya ia adalah enjin pertumbuhan terutamanya hari ini kerana apabila ibu negara Indonesia telah berpindah dan beralih ke Kalimantan, kedua-dua negeri Borneo mempunyai hak untuk menerimanya.

"Terdapat banyak potensi besar yang boleh kami peroleh daripadanya. Sebagai rakyat Malaysia sendiri, saya juga percaya memperkasakan negeri-negeri Borneo sebenarnya memperkasakan saya sebagai rakyat Malaysia juga," ujarnya.

Apabila ditanya berhubung adakah MUDA bakal bekerjasama dengan gabungan lain selepas pilihan raya, beliau berkata MUDA komited untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Kami mahu bekerjasama dengan gabungan yang berasaskan nilai dan prinsip, dan akan menumpukan kepada pembinaan Malaysia sebagai negara berbilang kaum berbilang agama, sederhana dan berpaksikan dasar,” katanya. - Sinar Harian