KOTA BHARU: Semua parti politik perlu memainkan peranan masing-masing dengan menyeru pengundi agar melaksanakan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 Nov ini.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata ia bertujuan menarik semua pemilih termasuk pengundi muda yang pertama kali menunaikan tanggungjawab menggunakan hak mereka.

"Ini bukan Pilihan Raya Negeri tetapi satu Pilihan Raya Umum yang menjadi teras kepada amalan demokrasi dalam negara.

"Kita ingin melihat jumlah yang keluar mengundi lebih tinggi kerana suasana ini memberi gambaran terhadap tahap kesejahteraan amalan demokrasi dalam negara kita.

"Kalau jumlah yang keluar mengundi 50 peratus sahaja, sebenarnya itu tidak memberikan satu gambaran yang baik kepada amalan demokrasi yang kita inginkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 212 keluarga di Parlimen Ketereh, yang kediaman mereka rosak akibat ribut baru-baru ini, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sebahagian besar daripada 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara mungkin terlepas peluang mengundi buat pertama kali dalam PRU15 kerana memerlukan belanja besar untuk pulang.

Annuar, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata adalah penting untuk terus mempertingkat kempen kesedaran berhubung tanggungjawab rakyat menyempurnakan proses demokrasi.

"Saya telah memberitahu media supaya memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya menyempurnakan tugas-tugas mereka termasuk menyeru pengundi awal iaitu undi pos.

"Ini adalah hak rakyat dan kita kena yakin kepada kebijaksanaan rakyat dan oleh itu, kita perlu mengalakkan rakyat menunaikan hak mereka," katanya.

-- BERNAMA