KUALA LUMPUR: Semua calon Perikatan Nasional (PN) di tiga negeri pimpinan Pas iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan akan menggunakan logo bulan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, perkara itu sudahpun mendapat perkenan daripada kepimpinan PN.

"Setakat ini, kita sudah mendapat lampu hijau daripada PN untuk menggunakan logo Pas iaitu bulan di negeri-negeri yang ditadbirkan, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Setakat ini diterima dan dipersetujui.

"Malah kenyataan Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun mengatakan bahawa beliau memahami rasional meminta penggunaan logo itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pendakian 121 Puncak sempena sambutan ulang tahun Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli memberitahu, itu adalah sebahagian daripada strategi yang telah diputuskan di peringkat negeri.

Menurutnya lagi, penggunaan logo tidak menjadi masalah sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, PKR memutuskan untuk menggunakan logo sendiri walaupun parti itu sebahagian daripada anggota komponen Pakatan Harapan (PH).

"Kalau gabungan membenarkan, tak ada masalah," ujarnya.