BAGAN SERAI: Kerusi Parlimen Bagan Serai, Perak merupakan antara kerusi disenaraikan memperoleh majoriti terendah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menang dengan majoriti 172 undi, kerusi tersebut menjadi milik calon Barisan Nasional (BN) pada ketika itu, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada PRU14, Dr Noor Azmi memperoleh 17,220 undi menewaskan calon Pas, Rohaya Bakar (17,048) dan calon Pakatan Harapan (PH), Adam Asmuni yang memperoleh 12,987 undi.

Ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah mengumumkan bekas Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail bakal bertanding di Parlimen Bagan Serai, Perikatan Nasional (PN) dan BN dilihat masih 'membisu'.

Penyandang kerusi itu, Dr Noor Azmi pula dikhabarkan sedia untuk mewakili PN dalam PRU15, namun, dalam masa sama khabar angin mengatakan Pas juga sedang mengintai kerusi tersebut.

Keputusan PRU14 dan sokongan terhadap Pas di Bagan Serai menjadi faktor utama parti itu mahukan kerusi tersebut, bertanding di bawah logo PN.

Berdasarkan cakap-cakap politik, nama calon yang akan diletakkan di Parlimen Bagan Serai ialah
seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang juga pemimpin tertinggi Pas.

Bagaimanapun, cubaan Astro AWANI mendapatkan reaksi beliau tidak berjaya apabila kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp tidak berbalas sementara panggilan telefon tidak diangkat.

Dalam masa sama, media difahamkan, nama Dr Noor Azmi tiada dalam senarai calon Perikatan Nasional untuk bertanding di Parlimen Bagan Serai.

Namun begitu, selagi tiada pengumuman rasmi, semuanya hanya khabar angin semata-mata.

Dalam PRU14, seramai 59,293 pemilih menunaikan tanggungjawab mereka dan jumlah itu dijangka bertambah dalam PRU15 susulan pertambahan pengundi muda.