PADANG TERAP: Pas tidak pernah sesekali melakukan tindakan yang melukakan hati UMNO di Kedah termasuk 'mencari pasal' atau mengkhinati parti 'rakan' yang bersama-sama membentuk kerajaan negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan setiap tindakan juga dilakukan dengan berhemah agar kepimpinan UMNO di peringkat negeri tidak berkecil hati dengan tindakan serta kenyataannya termasuk urusan mengenai lantikan Exco, Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Tambah beliau, apa yang dilakukan Pas Kedah selama menjadi rakan kerjasama dalam pentadbiran kerajaan negeri itu juga konsisten dalam mengukuhkan perpaduan ummah yang dibina selepas kejatuhan UMNO susulan kekalahan dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

"Itu yang kita konsisten dan istiqamah selama ini. Apa saja keperluan tentang pelantikan, contohnya, kalau kuota itu (milik) UMNO, kita akan minta nama daripada Badan Perhubungan UMNO (negeri).

"Kita tak pernah buat, (jika) tempat itu pernah kita beri kepada UMNO, (dan) oleh kerana kita tak suka atau kita kecil hati, kita lantik orang kita (Pas), macam mereka buat (dalam pentadbiran KEDA).

"Mereka (sahaja) buat benda itu, (tetapi) kita tak buat, sebab kita setia kepada persefahaman yang kita capai sewaktu tubuhkan kerajaan ini.

"Dan kita akan pegang perjanjian ni sampai hari kiamat, (di mana ia bertujuan) untuk mengukuhkan perpaduan ummah, menguatkan politik orang Islam, orang Melayu, kita (sentiasa) bersedia di atas jalan ini," kata Sanusi.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Himpunan Pelancaran Jentera PRU15 Pas Kedah di SRITI Naka, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, Pas Kedah sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO meskipun parti itu membuat keputusan untuk bertanding atau bergerak secara solo dalam PRU-15.

"Kita masih menjaga apa yang ada di tangan kita (pentadbiran Kedah). Kita sedia untuk bekerjasama, kita masih memberi ruang (kepada) dan sekalipun (sejak saya menjadi Menteri Besar), kita tidak buat apa-apa yang boleh menyebabkan Pas dan UMNO di Kedah ini bergaduh, berkelahi.

"(Cuma yang dibangkitkan adalah) apa yang saya ucap di Johor. (Untuk pengetahuan), itu (adalah) dalam konteks negeri Johor, (situasi semasa) di tempat itu; di Kedah kita tak pernah sebut benda itu dan ucapan-ucapan pun kita tak sebut (untuk burukkan UMNO)," kata Sanusi lagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyatakan bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah muktamad dan telah diputuskan sebulat suara oleh parti.

Beliau berkata, parti itu yakin mempunyai potensi untuk menang namun perlu bekerja keras untuk meraih lebih banyak kerusi.

Bagaimanapun, Mohamad menyambut baik syor supaya tidak berlaku pertembungan calon Pas dan UMNO di 27 kerusi yang berisiko jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau secara peribadi menyifatkan cadangan itu sebagai sesuatu yang baik, namun, tidak mengulas lanjut ketika ditanya sama ada UMNO bersetuju untuk duduk bersama-sama Pas bagi berbincang berhubung perkara itu.