KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah menghantar permohonan rasmi untuk menyertai Barisan Nasional (BN) bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiga minggu lalu.

Presiden Penaja parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin ketika mengesahkan perkara itu, bagaimanapun berkata, setakat ini BN masih belum menjawab permohonan tersebut.

"PBM telah membuat permohonan kepada BN, dalam tiga minggu lalu untuk menjadi sebahagian daripada komponen gabungan itu.

"Kita masih lagi menunggu jawapan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangi memorandum persefahaman (MoU) Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Antarabangsa Ke-10, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang itu memaklumkan akan mengetuai perbincangan PBM dengan BN untuk kerjasama bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Pengumuman itu dibuat sejurus selepas Zuraida mengesahkan menyertai PBM dan diumum sebagai bakal memegang jawatan presiden parti itu pada Jun lalu.

Dalam pada itu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya terbuka untuk mempertimbangkan penyertaan parti itu yang senada dengan perjuangan BN.