IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak menyifatkan dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyebut gabungan itu tidak bersetuju untuk memberikan apa-apa peranan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan negeri, sebagai penipuan besar.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sebelum itu, satu pertemuan dengan Saarani yang turut dihadiri Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin telah diadakan di Kuala Lumpur pada 20 November lalu.

Katanya pertemuan itu bagi mengadakan rundingan berhubung kemungkinan kerjasama antara PN dan BN bagi menubuhkan kerajaan negeri di Perak.

Tambah beliau, ketika itu Saarani yang juga Pengerusi BN Perak telah menyatakan hasrat untuk kekal dicadangkan sebagai Menteri Besar Perak dan ia adalah sesuatu yang amat penting.

“Saya juga telah menyatakan kebimbangan saya dengan keadaan di mana Kerajaan Negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat.

“Saya tegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama namun, pihak beliau bertegas untuk PN menawarkan tawaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata Saarani telah meminta agar perkara itu dirujuk kepada kepimpinan UMNO terlebih dahulu sebelum sebarang persetujuan dibuat.

Walau bagaimanapun Ahmad Faizal mendakwa hari ini Saarani telah ‘menyelamatkan’ jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sambil menipu ahli-ahli UMNO.

“Pada hari ini beliau dan kepimpinan UMNO telah menyelamatkan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sambil menipu perwakilan Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dengan slogan ‘No DAP’.

“Tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Saarani dilapor mendedahkan pihaknya ada menerima kunjungan daripada pimpinan PN Perak awal pagi Ahad.

Katanya, pertemuan dengan Zainol Fadzi itu bagi perbincangan tentang pembentukan kerajaan negeri selepas PRU15, namun tiada sebarang bentuk tawaran yang diberikan PN kepada pihaknya bagi tujuan berkenaan.