KOTA KINABALU: Medan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan digunakan oleh pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun untuk memberi mandat kepada pemimpin yang bebas rasuah dan berintegriti.

Ini kerana bagi mereka, kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu ditadbir oleh pemimpin yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab bagi membentuk sebuah negara yang dipandang tinggi di mata dunia.

Segelintir pengundi muda yang ditemui Astro AWANI, di sini juga berpandangan, pelaksanaan Undi18 memberi ruang kepada kumpulan tersebut untuk terlibat secara langsung dalam sistem demokrasi negara.

Graduan jurusan perniagaan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mohamad Hakimi Suffian, 19, berkata, di peringkat negeri pula, pemimpin yang dipilih kelak perlu mengutamakan pembangunan di kawasan tersebut.

"Saya sebagai pengundi baharu, Undi18 berharap agar wakil-wakil (rakyat yang akan dipilih) terutama Sarawak kerana saya dari Sarawak, menteri-menteri di sana nanti dapat membangunkan Sarawak dengan lebih bagus dan sistematik. Bukan itu sahaja, saya akan memastikan segala politik itu tiada rasuah dan bersih," katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.

Pelajar tahun satu itu menambah, dia turut berharap kerajaan negeri membantu para pelajar dan pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang menjalankan tanggungjawab, termasuk memberikan insentif bagi pembelian tiket penerbangan.

Selain itu, ada yang berpandangan bahawa bakal calon yang dipilih pada PRU15 akan datang perlulah individu yang sedia menyelami isi hati dan permasalahan rakyat, adil serta tegas dalam kepimpinan.

"Kalau boleh diberi pilihan daripada undian, harap seorang pemimpin yang dapat beri kerjasama yang cepat (ketika rakyat memerlukan bantuan) dan memegang amanah yang baik.

"Satu lagi, pemimpin yang berani dan tegas dalam kepimpinan. Dia tidak memilih bulu dalam menentukan siapa yang salah atau siapa benar," kata pelajar, Mohd Hazri Abu Bakar, 20. 

Graduan jurusan Teknologi Makanan dan Bioproses, Clara Claudia Japanis, 20, pula berkata: "Saya mahu pemimpin yang mendengar suara rakyat. Apabila rakyat susah, pemimpin sendiri yang turun padang dalam mengendalikan masalah tersebut."

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Syazana Aqilah Aspin, 20, berkata masalah kemudahan asas dan infrastruktur di Sabah seperti bekalan air bersih dan jalan raya dapat diberi keutamaan oleh wakil rakyat baharu.

"Saya rasa isu yang perlu diketahui pemimpin ialah isu seperti infrastruktur. Contohnya, jalan raya di Sabah masih teruk. Walaupun sekarang masih dalam proses (pembinaan) tetapi saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan cepat.

"Masalah ini bukan sekarang wujud tetapi sudah lama. Jadi saya harap pemimpin yang kita akan pilih ini dapat menyelesaikan masalah-masalah di Sabah terutamanya di pedalaman," ujarnya.

Lebih 21 juta pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab dalam PRU15 pada 19 November depan.

Daripada jumlah tersebut, lebih 1.6 juta pengundi di Sabah, dengan majoriti kumpulan pengundi terbesar adalah dalam lingkungan usia 21 hingga 29 tahun iaitu seramai 405,760 orang.