KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bimbang terhadap kemungkinan pengundi tidak sah muncul daripada pendaftaran automatik.

Sehubungan itu, ketua penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai telah mencadangkan kepada bahagian parti untuk mengambil inisiatif meneliti daftar pemilih secara menyeluruh bagi memastikan identiti pengundi baharu.

"Setiap bahagian parti perlu pergi lebih jauh bagi meneliti secara proaktif daftar pemilih untuk nama-nama yang mungkin asing bagi mereka.

"Kumpul dan laporkan penemuan ini kepada ibu pejabat parti supaya kita mempunyai asas untuk meneruskan tindakan seterusnya," katanya.

Dilaporkan bahawa kajian statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan peningkatan luar biasa, iaitu 574,120 pengundi baharu di Sabah, berbanding pilihan raya sebelum ini yang meningkat kepada 1,064,686 pengundi.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa kenaikan itu bukan disebabkan Undi18 tetapi berlaku pada tahun 2018 dan 2020.

Joniston berkata, peningkatan mengejutkan lebih setengah juta pengundi baharu sejak pilihan raya negeri lalu memerlukan semakan menyeluruh terhadap daftar pemilih.

Jelasnya, PBS menerusi undang-undang akan menggali data yang berkaitan untuk meneliti pertumbuhan ketara negeri dalam pengundi berdaftar.

Mengulas lanjut Joniston berkata, PBS juga telah berulang kali membuat permohonan pelantikan dengan SPR.

Hal itu, bagi mendapatkan jaminan bahawa pilihan raya Sabah adalah bersih tanpa pengundi yang boleh dipersoalkan jika pendaftaran automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun di Sabah masih berterusan.

Bagaimanapun permintaan itu tidak dilayan sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Presiden PBS Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili sebelum ini berkata, walaupun parti itu menyokong pendaftaran automatik mereka yang berumur 18 tahun, ia tidak sepatutnya dilanjutkan ke Sabah melainkan senarai pemilih sedia ada disemak dan disahkan secara menyeluruh.

Ini kerana terdapat laporan dan aduan pengundi yang mencurigakan dalam pilihan raya sebelum ini.