KOTA KINABALU: Semua ahli serta penyokong Pas Sabah diminta untuk membantu dan mengundi calon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Pas Sabah Dr Aliakbar Gulasan juga Ahli Dewan Undangan Negeri dilantik berkata sokongan kepada calon GRS-BN itu adalah sebagai tanda mendukung prinsip penyatuan nasional yang digagaskan oleh Pas.

Beliau berkata sokongan itu juga merupakan antara perkara hasil perbincangan dengan kepimpinan utama Pas Pusat dan dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Pas Negeri Sabah di sini malam tadi.

"Pas Sabah juga tidak meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU15). Pas Sabah akan menyelaras jentera bantu (calon GRS-BN) secara menyeluruh di peringkat negeri dan kawasan-kawasan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan calon untuk bertanding di 13 kerusi Parlimen, manakala Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan calon partinya yang bertanding di 11 Parlimen di negeri ini.

GRS dan BN menjalin kerjasama bagi mentadbir Kerajaan Sabah sejak memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada 2020.

-- BERNAMA