IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunggu isyarat daripada Barisan Nasional (BN) sama ada ia bersedia atau tidak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia bagi memastikan parti itu benar-benar bersedia sebelum pilihan raya umum diadakan.

Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan membuat laporan mengenai tahap kesiapsiagaan BN di seluruh negara.

"Perdana Menteri menunggu isyarat daripada parti sama ada kita telah bersedia atau pun belum.

"Tak guna juga kita memasuki pilihan raya kalau kita tidak bersedia kerana pilihan raya ini umpama memasuki peperangan.

"Menang adalah keutamaan kita. Kita tidak ada pilihan selain daripada menang. Kalau nak pergi perang, nak masuk perang, kalau kita tahu kita tak bersedia dan kalah, itu sia-sia namanya," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis prapelancaran jentera Barisan Nasional PRU15 Negeri Perak di Casuarina @ Meru, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Menurut Mohamad, selepas 10 negeri yang dilawatinya, tidak termasuk Perak, beliau amat puas hati dan kesiapsiagaan jentera parti amat memuaskan.

Katanya, walaupun ada beberapa sudut yang perlu diperkemaskan, secara keseluruhannya jentera BN sudah bersedia dan amat bersemangat untuk menghadapi PRU15.

Selepas Perak, beliau akan melawat Pahang selama dua hari mulai Isnin depan.