SEMPORNA: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony sah tidak bertanding di kerusi Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semakan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati hanya lima calon secara rasmi tersenarai bertanding di kerusi berkenaan.

Ia antaranya melibatkan penyandang kerusi berkenaan, Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH).


Turut memberi saingan di kerusi P.181 Tenom ialah calon Barisan Nasional (BN), Jamawi Jaafar; Ukim Buandi (Parti Warisan); serta dua calon Bebas masing-masing Riduan Rubin dan Peggy Chaw Zhi Ting.

Terdahulu, kekecohan dilaporkan berlaku ketika proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Tenom, menyebabkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dikerahkan bagi meleraikan rusuhan.

Insiden dipercayai berlaku susulan borang penamaan calon Peter ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana kes mahkamah hingga menyebabkan penyokong cuba merempuh pusat penamaan.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memalsukan dokumen daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dijangka mengadakan sidang media di Tenom pada jam 5 petang ini

Peter dikatakan membuat laporan polis dan dijangka mengadakan sidang media di Tenom hari ini.

Pada PRU14, Noorita menang dengan majoriti 1,133 dalam saingan tiga penjuru.