SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berharap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH negeri Datuk Seri Aminuddin Harun berkata jika Anwar memutuskan bertanding di kawasan itu, ia pastinya memberi kelebihan dalam usaha mengekalkan kepimpinan PH di Negeri Sembilan.

"Belum ada kata putus mengenainya tapi kita mengalu-alukan Anwar bertanding di Port Dickson. Walaupun beliau sibuk sebagai ketua pembangkang, Port Dickson sentiasa menjadi keutamaan beliau.

"Kalau beliau masih di Port Dickson, ia akan berikan kelebihan buat kami di peringkat Dewan Undangan Negeri. Pengerusi PH bertanding di Negeri Sembilan, tentu akan berikan kelebihan," katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada pengurus pasukan negeri ke Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di sini hari ini.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata beliau masih mempertimbangkan beberapa kerusi Parlimen untuk bertanding pada PRU15 termasuk di Permatang Pauh, Tambun atau Port Dickson.

-- BERNAMA