KUALA NERUS: Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan bergabung dengan parti lain sekiranya gagal mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang ini.

Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, sasaran untuk memenangi lebih 112 kerusi termasuk di Terengganu dan Kelantan, masih mampu direalisasikan berdasarkan perkembangan semasa.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, program jelajah PH ke seluruh negara menyaksikan sambutan memberangsangkan, terutama dalam kalangan golongan muda.

"Saya nak lebih dari 112. Jadi, saya cakap secara umum, kalau lebih, baiklah 112, paling kurang kerajaan agak kukuh, baru dapat tubuhkan.

"Kalau kurang daripada itu, terpaksa berunding dengan parti-parti lain. Kita harap, Pakatan sahaja insya-Allah melepasi 112.

"(Selepas kempen) nampak semakin meningkat, terutama dalam kalangan orang Melayu, yang dimomokkan ahli Parlimen DAP itu, sudah nampak berkurangan.

"Termasuk di Kelantan, Terengganu, sambutan diberikan cukup baik dibandingkan dengan 2018 dulu," kata Mat Sabu ketika ditemui selepas majlis jelajah PH Terengganu di sini semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memberi bayangan PH sudah memenangi 90 kerusi Parlimen pada PRU15 berdasarkan tahap sokongan rakyat.

Ia keputusan tidak rasmi hasil soal selidik harian yang dilakukan parti berkenaan di seluruh negara.

PRU15 | PH sedia bergabung dengan parti lain - Mat Sabu