IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberi kepercayaan untuk bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Perak berbanding Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya PKR Perak, Tan Kar Hing, bagaimanapun, berkata, secara umum, semua kerusi yang dimenangi parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu kekal status quo.

"Setakat ini saya boleh katakan PKR masih lagi akan bertanding di kerusi yang lebih di Perak tapi jumlahnya saya tak boleh kongsikan hari ini.

"Kerusi-kerusi yang dimenangi oleh parti itu akan kita kekalkan calon-calon dari parti itulah, cuma ada kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kita pecah-pecahkan dan bahagi dalam PH," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Perak, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai hasrat DAP untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu, Kar Hing berkata, setiap parti ada hak untuk membuat permintaan kerana masih terdapat satu atau dua kerusi yang belum muktamad.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, pembahagian kerusi akan mengambil kira kekuatan dan peluang parti-parti untuk menang di kawasan.

"Memang ada hak untuk DAP tuntut kerusi, tapi kali ini PKR sendiri kami lihat bukan setakat sesuatu parti sahaja tetapi lihat latar belakang kelayakan dan peluang calon yang akan bertanding pada kali ini.

"Bukan soal parti nak bertanding di mana sahaja, tapi lihat peluang kemenangan calon itu sendiri," ujarnya.

Pada 2 Oktober lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mendedahkan, DAP akan mendapat kerusi Parlimen tambahan di Perak pada PRU15.

Beliau memberi bayangan kerusi tambahan tersebut merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.