KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu tunduk kepada tekanan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis Politik, Tawfik Yaakub berkata, tindakan Ahmad Zahid itu merupakan budaya politik lapuk UMNO yang pada ketika ini tidak lagi relevan.

“Perdana Menteri tidak perlu terikut-ikut dengan kelemahan Presiden UMNO (Zahid Hamidi) dan tunduk terhadap tekanan yang mendesak PRU15 diadakan segera.

“Perlu lihat juga bagaimana penerimaan akar umbi serta rakyat di luar sana yang tidak mahu dipaksa untuk keluar mengundi dalam keadaan ekonomi pun masih tidak stabil,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Ujarnya lagi, tekanan yang dihadapi Ismail Sabri hanya daripada sekumpulan kecil pemimpin UMNO yang jelas tidak mempunyai sebarang kuasa dalam kerajaan.

BACA: Jentera Pemuda BN sedia redah banjir hadapi PRU15 - Zahid

BACA: Bayangan jelas PRU15 diadakan tahun ini - Ahmad Maslan

BACA: Tarikh pembubaran Parlimen akan diumum tidak lama lagi - PM Ismail Sabri          


Bercakap mengenai pilihan raya, Tawfiq berkata rakyat mempunyai hak untuk keluar menunaikan tanggungjawab itu dalam keadaan yang selesa dan bukanlah disebabkan situasi politik yang bergolak.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ismail Sabri perlu bertegas dalam menentukan tarikh untuk mengadakan PRU15.

“Perdana Menteri perlu tunjuk ketegasan untuk tentukan PRU15 serta tindakan untuk bubarkan Parlimen kerana beliau (Ismail Sabri) perlu jadi contoh pemimpin yang kuat.

“Tidak perlu tunjuk bahawa beliau (Ismail Sabri) itu lemah berbanding beberapa pemimpin UMNO lain yang tiada kuasa dalam kerajaan,” katanya lagi.

PRU15 | PM tidak perlu tunduk kepada Presiden UMNO

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menyatakan keyakinan bahawa PRU15 akan diadakan pada tahun ini yang hanya berbaki tiga bulan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dilapor berkata, seluruh jentera Pemuda BN sudah bersedia untuk mengharungi banjir sekiranya PRU15 diadakan pada tahun ini.