KUALA LUMPUR: Rakyat boleh menuntut pelaksanaan lebih daripada satu manifesto gabungan atau parti politik sekiranya kerajaan campuran terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Menurut penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil.

Ini kerana, PRU15 menyaksikan peperangan demokrasi paling sengit dalam sejarah negara dan memungkinkan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

“Tanyalah mana-mana parti politik, tanyalah mana-mana pemimpin mereka, yakin akan menang pilihan raya tetapi belum tentu lagi dalam PRU15 akan datang, yang kita ibaratkan sebagai ibu kepada pilihan raya.

“Jika kita melihat kepada populasi pertambahan pengundi muda dan Undi18, bagi parti-parti politik ia merupakan satu kebimbangan kerana Undi18 dan pengundi muda belum teruji sokongan dan dokongan politik mereka.

“Sudah semestinya jika berlaku kerajaan campuran selepas PRU15 kita sebagai pengundi boleh memohon kepada gabungan tersebut supaya apa yang dijanjikan dalam kempen-kempen pilihan raya perlu ditunaikan,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.

Baru-baru ini gabungan utama politik negara seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menawarkan pelbagai inisiatif dalam manifesto PRU15.

Kebanyakan manifesto ditawarkan menggariskan dua kepentingan utama iaitu menyelesaikan isu kos sara hidup dan membangunkan ekonomi negara.