CHUKAI: Saf kepimpinan Pas diingatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau, sebaliknya, menasihatkan mereka supaya mengambil pendekatan damai dalam menyampaikan mesej selaras dengan dasar 'menerang dan bukannya menyerang.'

Katanya, jika terdapat pemimpin yang dilihat agresif dan bertentangan dengan dasar tersebut, mereka akan disekat daripada menyampaikan sebarang mesej seperti ceramah dan akan dipantau.

"Itulah konsep dan prinsip yang kita bawa. Mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan 'menyerang,' kita 'gam.' Hentikannya daripada berceramah. Tindakan itu ada, kita tidak mahu (perkara sedemikian) kerana PAS adalah parti demokratik dan aman sejak dahulu lagi.

"Kita hentikan dia berceramah termasuk menulis (di media sosial)," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah PN Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka, dekat sini, malam tadi.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa kerjasama dengan Barisan Nasional tidak akan berlaku sama sekali.

Beliau berkata, PN akan berusaha untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen pada hari penentuan esok.

"Dasar kita, kita tidak akan bersama dengan parti yang agresif, yang ekstrem seperti Pakatan Harapan dan parti yang tidak bersih daripada rasuah. Kita tidak buat rasuah dan kita tidak akan ikut (perbuatan itu)," katanya.

Turut hadir, Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; calon Pas Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan calon Pas Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli. - BERNAMA