SARIKEI: Kerajaan Sarawak mengumumkan cuti khas pada 18 November ini sempena berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebentar tadi.

Keputusan itu katanya, adalah hasil perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Selangau, semalam.

Perkara itu katanya, juga telah dirundingi dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki.

"Ia untuk membolehkan orang ramai pulang mengundi tanpa halangan pada Jumaat, 18 November.

"Manakala 20 November adalah hari Ahad, dan tidak ada masalah untuk mereka bersedia kembali bekerja," katanya kepada media selepas merasmikan bangunan pentadbiran baharu Tanjung Manis di sini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 52 peratus undi awal setakat jam 11 pagi

Abang Johari sebelum ini memaklumkan Kerajaan Sarawak masih berbincang tentang perkara tersebut, yang dikhuatiri memberi kesan kepada ekonomi dan majikan.