IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau menerima keputusan gagal mempertahankan kerusi Parliman Parit Buntar dengan lapang dada.

Menurutnya, keputusan itu adalah hasrat daripada kehendak pengundi di kawasan berkenaan yang ditunjukkan melalui peti-peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pemenang, Mohd Misbahul Munir Masduki dari Perikatan Nasional (PN), Naib Presiden Amanah itu turut mengucapkan syabas kepada calon-calon lain dari Barisan Nasional (BN) dan Pejuang kerana telah menyertai gelanggang demokrasi dengan tulus murni.

“Terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, petugas keselamatan dan semua pihak yang menguruskan proses pilihan raya yang berlangsung dalam suasana aman,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pertandingan empat penjuru di Parit Buntar, Mohd Misbahul memperolehi 23,223 undi menewaskan Mujahid (17,828 undi), Imran Mohd Yusof dari BN (11,593 undi) dan Rohijas Md Shariff (Pejuang) yang mendapat 259 undi.

Mujahid turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PH serta para petugas parti dan sukarelawan yang bekerja keras di Parlimen Parit Buntar.

Beliau juga  menghargai jasa para penyokong dan pengundi yang mempercayai aspirasi dan cita-cita perjuangan PH selama ini.

“Walaupun kami telah berusaha keras untuk kekalkan kemenangan PH, namun kita semua harus menerima ia satu keputusan yang dibuat secara demokrasi berpilihan raya,” ujarnya.