BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak pemimpin parti politik tertentu dalam kerajaan yang dikatakan pernah menggerakkan usaha untuk menumbangkan kerajaan pimpinannya.

Tanpa menamakan pemimpin berkenaan, beliau berkata dapat 'menghidu' gerakan itu, justeru bertekad untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baharu.

"Hari ini kita baca kenyataan Presiden Amanah (Mohamad Sabu), katanya seorang Presiden berada dalam parti (kerajaan) berjumpa beliau mengatakan dia nak tumbangkan kerajaan ada sekarang.

"Orang yang sama juga saya percaya merancang mewujudkan 'khemah besar' menumbangkan kerajaan hari ini, dia kata 'tekan butang bila-bila masa', dia nak ugut kita.

"Dia tak tahu, orang Pahang... sebelum dia tekan butang saya tekan butang dulu... dan saya tekan butang dulu bubar Parlimen. Tak payah dia nak ajar kita bubarkan Parlimen," kata Naib Presiden UMNO itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Peringkat Negeri Pahang di sini pada Khamis.

Dalam majlis yang sama, Ismail bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut melancarkan Jentera BN Negeri Pahang sempena PRU15.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Roshdy Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kini masa rakyat untuk membuat pilihan kerajaan baharu secara demokrasi dan bukan ugutan seperti dilakukan pemimpin berkenaan.

"Parlimen dah terbubar, tanggungjawab pastikan kemenangan kita (BN) terletak pada tuan-tuan dan puan-puan.

"Gerenti menang tak boleh digunakan lagi, dulu dicalonkan bawah BN pasti menang. Siapa dapat watikah dah boleh bagi jaminan akan menang,

"Tetapi tidak lagi sekarang, PRU15 tiada parti boleh jaminan boleh menang sebab itu kita kerja kuat, tuan puan mesti kerja kuat pastikan Pahang kekalkan kerusi lebih besar," katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut mengingatkan jentera BN agar bekerja keras untuk mendapat kepercayaan rakyat.

Malah beliau yakin BN Pahang bakal mendapat dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU kali ini.