KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk rakyat menyatakan penilaian dan pendirian mereka terhadap segala ‘drama politik dan demokrasi’ yang disaksikan sejak sepenggal yang lalu, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan kunjung tiba.

Kata Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin, selama ini rakyat sekadar menonton ‘permainan’ para politikus di pentas berbeza dan kini mereka dapat bertindak dengan kuasa mengundi yang dimiliki untuk sekali lagi menentukan masa depan negara.

Bagi beliau, musim tengkujuh tidak akan menjadi penghalang utama untuk mereka tetap keluar mengundi melainkan dilanda musibah, itu pun bukan seluruh kawasan di negara yang akan terjejas.

“Hujan tak hujan, saya rasa mereka (rakyat) sudah bersedia dengan perkara ini.

“Memang Jabatan Kaji Cuaca telah mengeluarkan pelbagai ramalan tapi pada pandangan saya, ramalan ini bukan berlaku di seluruh negara serentak yang menyebabkan semua tak boleh keluar mengundi.

“Memang akan ada kawasan yang akan tergendala kehidupan mereka kerana banjir tetapi umumnya saya rasa dalam 60 hingga 70 peratus masih lagi boleh keluar mengundi,” katanya.

Beliau juga yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong telah membuat pertimbangan sewarasnya sebelum Baginda berkenan meluluskan pembubaran Parlimen untuk membenarkan penganjuran PRU15.

Proses demokrasi telah berlaku di beberapa negeri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, yang sering dijadikan petunjuk atau indikator parti-parti politik untuk mengukur kekuatan mereka menuju PRU15.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, kali ini ia tidak semudah itu, selepas segala kejutan yang disaksikan pada PRU14 yang lalu serta dengan penyertaan kelompok besar pengundi baharu hasil pendaftaran automatik warganegara berusia 18 tahun ke atas.