KUALA LUMPUR: Shahril Hamdan yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Alor Gajah, Melaka mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Penerangan UMNO susulan prestasi buruk gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Shahril, dalam masa sama, menggesa Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berbuat demikian sebagai tanggungjawab bersama atas sesuatu kegagalan.

"Saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini - berundur secara terhormat.

"Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini"," katanya dalam hantaran di akuan media sosialnya, hari ini.

BN mencatat keputusan terburuk dalam sejarah menyertai PRU apabila hanya mendapat 30 kerusi daripada 178 kerusi yang ditandinginya.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan PRU15 memberikan isyarat jelas bahawa sebahagian besar rakyat negara kini menolak UMNO.

Kata Onn Hafiz, berlaku tsunami politik dalam kalangan orang Melayu apabila sebahagian besar mereka bersuara menolak parti keramat itu dan Presiden UMNO itu perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dizahirkan rakyat dengan meletak jawatan.