KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum menetapkan tarikh-tarikh penting bagi memudahkan mahasiswa terlibat dalam proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, faktor tersebut termasuk cuti pertengahan semester universiti dan tarikh pelaksanaan konvokesyen membabitkan sebahagian besar universiti tempatan yang akan diadakan pada November ini.

Katanya lagi, SPR mempunyai kuasa mengikut lunas Perlembagaan dan Undang-undang pada wewenang dalam proses perjalanan pilihan raya meliputi tarikh penamaan calon, tempoh berkempen, tarikh undi awal serta hari pengundian.

"Oleh itu, PKPIM mencadangkan agar SPR menetapkan hari mengundi pada hari Sabtu atau Ahad bagi memberi ruang kepada mahasiswa, pengundi muda dan seluruh rakyat Malaysia untuk pulang ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini.

"Berdasarkan rekod sebelum ini, hari pengundian bagi PRU-12 dan PRU-13 telah diadakan pada hari Ahad dan Sabtu.

"Kali terakhir PRU diadakan pada hari bekerja adalah pada 2018 di mana tarikh pengundian jatuh pada hari Rabu, 9 Mei 2018," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Menurut Ahmad Farhan, penetapan hari mengundi yang rasional dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan keluar mengundi.

Perkara ini juga, jelas beliau, penting kerana mahasiswa merupakan sebahagian besar daripada lebih 5.74 juta pengundi muda berusia 18 hingga 30 tahun yang layak mengundi pada PRU15.

Untuk rekod, PRU14 yang diadakan pada 2018 mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu sebanyak 82.32 peratus.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.