ARAU: Penyandang kerusi Parlimen Arau yang juga Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Shahidan Kassim diingatkan agar tidak merajuk dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti yang tidak mencalonkan beliau di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Arau, Ku Hasnan Ku Abdul Rahman menyatakan menjelaskan sewajarkan Shahidan memberikan peluang untuk pemimpin muka baharu diketengahkan kepada masyarakat di Arau.

Jelasnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Chermai, beliau tidak menolak kemungkinan pemimpin veteran itu akan memboikot calon yang dipilih sekali gus merugikan BN.

"Yang dah lama berumur cukuplah, bagi orang lain pula.

"Steadylah bos, jangan merajuk. Yang penting support kami saja, itu yang penting. Kesan dia sangat buruk kepada parti," kata Ku Hasnan.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di sekitar Arau pagi ini, mendapati bilik gerakan BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sena, Guar Sanji masih beroperasi seperti biasa.

Beberapa individu yang ditemui memaklumkan bahawa mereka akan sentiasa menyokong calon yang diumumkan Presiden malam tadi tanpa berbelah bahagi.

Menurut mereka, amalan boikot memboikot adalah satu sikap yang kebudak-budakan yang mana akan memberi ruang kepada calon parti lawan untuk menyerang BN.

Mereka turut mengharapkan agar Shahidan berlapang dada selain dapat menjadi individu yang boleh memberi tunjuk ajar kepada muka-muka baharu yang ditampilkan di Arau.



Dalam pada itu tinjauan yang dilakukan di Pusat Khidmat Parlimen Arau setakat jam 10.30 pagi tadi mendapati ia masih belum dibuka dan beroperasi.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Shahidan tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun perlu menggunakan ‘tiket‘ parti lain.

Shahidan yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Arau berkata, beliau menerima banyak tawaran daripada parti-parti lain namun masih belum memuktamadkan platform parti politik bakal diwakilinya.

Beliau turut menegaskan tidak akan keluar daripada menjadi ahli UMNO walaupun mahu bertanding atas tiket parti lain pada PRU15, malah sudah bersedia untuk dipecat susulan tindakannya itu.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Perikatan Nasional (PN) Perlis mengesahkan kekosongan nama calon kerusi Parlimen Arau adalah untuk memberi laluan kepada Shahidan bertanding mewakili pakatan tersebut pada PRU15.

Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, nama calon kerusi Parlimen Arau itu dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat Pusat dengan Shahidan masih belum dimuktamadkan lagi.

BACA: PN akan calonkan Shahidan di Arau

Terdahulu, dalam pengumuman calon BN yang diadakan semalam Datuk Rozabil Abdul Rahman diumumkan sebagai calon di Parlimen Arau, sekali gus menyaksikan Shahidan digugurkan bersama beberapa nama besar lain.