KUALA LUMPUR: Pasar Raja Bot atau Pasar Chow Kit yang menghadapi isu projel pembangunan terbengkalai perlu diselesaikan segera.

Calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menukar lima kontraktor bagi meneruskan projek tersebut namun sehingga kini projek berkenaan masih gagal disiapkan.

Menurutnya, peniaga di sana turut mendakwa tidak dilibatkan dalam sesi perbincangan oleh Menteri Wilayah Persekutuan mahu pun wakil rakyat Titiwangsa sejak Jun 2018.

"Peniaga turut bertanya mengapa Menteri Wilayah 22 bulan tidak pula melihat dan menyelesaikan perkara ini.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan terlalu lama dan harus diselesaikan dengan segera kerana ramai peniaga di kawasan ini telah terjejas sehingga ada yang gulung tikar," katanya menerusi kemas kini di Facebooknya pada Sabtu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, sejurus selesai PRU15, beliau mahu satu jawatankuasa khas terdiri peniaga Pasar Chow Kit daripada semua kaum dibentuk bagi menyelesaikan permasalahan itu.

Tambahnya, semua pemegang taruh, pihak terjejas perlu turut serta membentangkan fakta dan mencari penyelesaian.

"Jadi selagi anda meniaga di sini wakil rakyat yang dipilih seharusnya bekerjasama untuk memastikan DBKL tidak membuat kesilapan lagi dengan mengambil kontraktor yang tidak ditapis dengan teliti kelayakannya untuk menyiapkan projek ini.

"Kita tidak mahu kegagalan kontraktor menjadi alasan kepada Pasar Chow Kit ini untuk tidak dibangunkan.

"Saya melihat Pasar Chow Kit ini tidak mempunyai masalah untuk dibangunkan kerana pasar minggu di Kampung Baru telah berjaya disiapkan dengan baik,"ujarnya.

Ujar beliau, ramai peniaga yang mengalami kerugian dan menutup perniagaan telah datang berjumpanya bagi meluahkan permasalahan mereka.

"Wakil rakyat sebelum ini tidak memperjuangkan pembangunan semula Pasar Chow Kit.

"Disebabkan itu pada PRU15 ini, kita perlu betul-betul menilai dan memilih calon komited dan mempunyai rekod yang baik dalam melaksanakan tanggungjawab serta tugas kepada masyarakat di kawasan setempat," katanya. -Sinar Harian