IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui langkah mempertaruhkan presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Tambun, bukanlah satu laluan yang mudah, kata bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador.

Namun, Pengerusi Jentera Pilihan Raya Harapan Parlimen Tambun itu berkata, keputusan tersebut merupakan permintaan Anwar sendiri, yang bertegas mahu keluar dari zon selesa.

Farhash berkata, Anwar juga mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan rakyat Perak, dalam usaha menjadikan negeri itu barisan hadapan untuk misi PH ke Putrajaya.

“Mengikut logik, Datuk Seri Anwar sebagai Presiden (PKR) boleh saja memilih kerusi di mana saja yang selamat untuk beliau, tetapi beliau konsisten mahu berusaha lebih dalam menyumbang kepada kemenangan rakyat dan Pakatan Harapan secara keseluruhan.

“(Memang )tidak ada yang mudah dalam politik, sebaliknya ia memerlukan tekad dan iltizam yang perlu diterjemahkan melalui gerak kerja yang tersusun dan rapi, sekali gus memastikan kemenangan diraih,” katanya kepada Astro AWANI.

'
Saya berani untuk merempuh dan tawan Tambun dalam pilihan raya ini - Anwar

Farhash berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan beberapa pihak bahawa keputusan meletakkan Anwar di kerusi yang disandang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu, dilihat laluan yang mudah.

1992837

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ahmad Faizal, yang ketika itu bertanding mewakili PH di bawah bendera PKR, berjaya menewaskan bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, dan Ketua Dewan Ulamak Pas Perak, Ibrahim Zakaria.

PRU-15 | Janji Anwar jika jadi Perdana Menteri

Dalam pilihan raya tersebut, Ahmad Faizal berjaya mendapat majoriti 5,320 undi untuk Parlimen Tambun, dan majoriti 39 undi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, sebelum diangkat menjadi Menteri Besar Perak.

Mengulas lanjut, Farhash berkata, kemenangan Ahmad Faizal di dua kerusi tersebut, khususnya Tambun, adalah mengambil kira gelombang rakyat ketika itu, walaupun ia merupakan kerusi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya Peja (Ahmad Faizal) boleh lakukannya dahulu, mengapa tidak Datuk Seri Anwar? Dengan pelbagai isu yang mendesak yang terus memburuk saat ini di bawah pemerintah sekarang, saya yakin beliau mampu mencipta lonjakan yang lebih baik.

“Tambahan pula, watak Peja adalah watak pengkhianat mandat yang memenangkan beliau dahulu. Datuk Seri Anwar sebagai tokoh besar harus membetulkan pandangan buruk itu, tidak hanya kepada sistem politik negara tetapi kepada (Pakatan) Harapan itu sendiri,” tegasnya lagi.

Mengambil contoh bekas Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Kit Siang yang mengambil risiko bertanding di kawasan ‘hitam’, Farhash berkata, perjuangan yang takutkan risiko tidak sepatutnya diteladani ahli-ahli politik.

Mengulas tentang visi Anwar dan PH untuk menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan, Farhash berkata, negeri itu merupakan antara negeri terawal yang berjaya dimenangi pembangkang pada 2008, iaitu di bawah payung Pakatan Rakyat.

“Kedudukan kerusi DUN di Perak 50-50 sejak 2008, Saya percaya jika ada usaha yang lebih ekstrem kerajaan negeri boleh berubah, kerana Kerajaan negeri Perak dilihat tak stabil selepas 2008.

“Bagi mengukuhkan sokongan dan keyakinan rakyat serta membangunkan ekonomi dengan baik maka kedatangan Datuk Seri Anwar akan memberi satu impak yang besar kepada kerajaan negeri. Kita percaya gelombang kebangkitan akan kembali kerana tokoh terulung dalam negara yang punyai integriti tinggi,” katanya lagi.

Farhash berkata, langkah politik seperti itu adalah bagi membuktikan komitmen PH bahawa mereka sedia berjuang, dan tidak hanya selesa di tempat selamat.