KUALA SELANGOR: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) di Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap wujud persaingan yang sihat antara semua parti yang bertanding di kerusi parlimen itu.

Katanya, apa yang perlu diutamakan ialah kepentingan dan kebajikan pengundi Kuala Selangor.

"Empat persaingan empat penjuru bagi merebut kerusi parlimen itu. Terima kasih semua yang berkaitan.

"Kita nak persaingan yang sihat dan kita nak membawa kemajuan dan kebaikan kepada rakyat terutamanya pengundi di Kuala Selangor," katanya kepada media selepas melancarkan jentera Pemuda BN Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan mengumumkan manifestonya dalam masa terdekat.

Antara lain, manifesto berkenaan menekankan mengenai usaha memastikan peluang pekerjaan dan perniagaan disediakan kepada anak muda di Kuala Selangor.
 
"Anak muda nak peluang pekerjaan, itu yang pertama. Peluang perkerjaan dan peluang perniagaan juga . Kita akan beri sokongan dan kita akan membuat polisi untuk membantu mereka," tambah beliau. 

Katanya lagi, setakat ini, 50 isu tempatan telah dikenal pasti di Kuala Selangor termasuk infrastruktur dan pengangkutan awam, kebajikan, mutu kehidupan, pekerjaan, perniagaan, pendidikan serta peningkatan kemahiran.

Kerusi Parlimen Kuala Selangor bakal menyaksikan persaingan empat penjuru pada PRU15. 

Tengku Zafrul bakal berentap dengan penyandang, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan dua lagi calon, iaitu Mohd Noor Mohd Sahar dari Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Shaid Rosli mewakili parti Pejuang.