KUALA LUMPUR: Naib Ketua UMNO Bahagian-bahagian Malaysia hari ini menggesa dua pemimpin tertingginya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk berundur, susulan keputusan buruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam satu kenyataan malam ini, pengerusi gabungan berkenaan, Datuk Muhammad Anuar Mohd Yunus berkata, mereka melihat kedua-dua pemimpin tersebut tidak cekap dalam menguruskan perjuangan, dan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).

Selain itu beliau menegaskan, sebarang perbincangan dan usaha menyatukan parti UMNO dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh diterima.

“Percaya dengan asas perjuangan parti UMNO selama ini menegak syiar agama dan perjuangan masadepan Melayu dan Bumiputera, persefahaman dengan PH yang dikuasai DAP adalah suatu pengkhianatan paling besar.

“Mereka yang bersekongkol dengan usaha ini tidak boleh dikompromi dari ditolak parti,” katanya menerusi kenyataan itu lagi.

Muhammad Anuar berkata, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab atas kekalahan yang memalukan malah lebih teruk dari PRU14 yang lalu.

Dakwa beliau, penolakan rakyat terhadap UMNO atas kebimbangan mereka parti ini dipimpin oleh beliau, terpaksa diambil kira bagi meletakkan semula kepercayaan rakyat, seterusnya mengembalikan UMNO di hati mereka.

Sementara itu Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat pula, kata Muhammad Anuar, perlu melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO atas kekhilafan strategi dan calon-calon yang dipertaruh BN.

“Kegagalannya mengotakan beberapa janjinya termasuk mengekalkan penyandang-penyandang Ahli Parlimen dan kriteria ‘Winnable Acceptable Likeable atau WALI’ yang diwar-warkan umum telah mengakibatkan berlaku defisit kepercayaan penyokong dan rakyat secara keseluruhan.

“Maka yang demikian, selari dengan kenyataan medianya sebelum ini bahawa akan melepaskan jawatan andainya Barisan Nasional tewas, hendaklah dikotakan,” tegasnya lagi.

Seterusnya Muhammad Anuar berkata, semua pemimpin-pemimpin UMNO yang jelas dilihat dekat di hati rakyat hendaklah diberikan tempat serta-merta di dalam kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO.

Katanya lagi, kumpulan pemimpin itu jelas menjadi perhatian rakyat melalui pertambahan majoriti kemenangan yang ketara, dan mereka yang berjaya merampas kembali kawasan-kawasan yang sebelum ini tewas terutamanya kawasan bandar.

“Tidak ketinggalan bagi yang berjaya merobek kubu lawan, yang mana masih tewas tetapi berjaya merobek majoriti lawan dengan begitu besar, harus ditempatkan di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti.

“Ia sebagai suatu ekspresi kepada rakyat bahawa UMNO mengambil maklum akan kehendak dan suara mereka,” katanya lagi.

Selain itu Muhammad Anuar berkata, kepimpinan baharu perlu meneliti kembali pola kekalahan BN di kawasan-kawasan yang selama ini diberikan khidmat bela rakyat yang cemerlang oleh penyandang-penyandang sebelum ini.

“Malangnya mereka dinafikan untuk kembali bertanding sehingga BN akhirnya tewas di kawasan-kawasan berkenaan.

“Maka mereka harus diberikan tempat dan peranan di dalam pucuk pimpinan parti bagi menunjukkan apresiasi parti terhadap isyarat rakyat,” tambahnya.