PORT DICKSON: Isu bantahan pencalonan membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak menimbulkan sebarang masalah.

Malah jelas Aminuddin, perkara tersebut telahpun disemak sebaik mungkin sebelum memutuskan untuk mengambil bahagian dalam PRU15 kali ini.

“Jawatan Menteri Besar adalah bukan jawatan penjawat awam yang dilantik ataupun kita memohon jawatan tersebut. Itu adalah jawatan politik. Kalau tak ada politik, tak ada siapapun akan jadi Menteri Besar.

“Jadi saya rasa ia jelas dan kita telah semak dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sebelum saya mengisi borang dan penamaan calon dibuat.. Tak ada isulah," katanya kepada media di sini hari ini.

Ketika ini jelasnya, isu tersebut lebih cenderung kepada pihak yang sengaja mencipta isu untuk diperdebatkan.

Menyentuh mengenai perkembangan kempen ketika ini katanya, kerancakan yang berlangsung agak terjejas akibat cuaca yang tidak menentu dan dirasai oleh semua calon dan parti yang bertanding.

Namun katanya, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mengharungi tempoh kempen yang bebaki lebih kurang seminggu sahaja lagi.

“Itulah kita doa agar hujan ni tak lah lebat sangat tak mengganggu tugas (kempen) yang ada. Petugas-petugas berada ditahap yang amat memuaskan dan sedang meningkat.

“Mereka sedang giat berusaha dan kalau berlaku apa-apa ia akan mengurangkan sedikit momentum tersebut," katanya lagi.

Buat masa ini jelasnya lagi, beliau ingin menumpukan sepenuhnya perhatian kepada keperluan masyarakat sekitar Port Dickson yang ditandinginya dalam memastikan ia akan dilaksanakan sepenuhnya nanti.

Ini termasuklah isu-isu semasa setempat seperti masalah air selain infrastruktur yang perlu diperbaiki atau dinaik taraf dan sekian lama membelenggu masyarakat di daerah tersebut.