JOHOR BAHRU: Keputusan Datuk Mohd Kazim Elias untuk tarik diri mewakili Barisan Nasional di Parlimen Larut mungkin berpunca akibat isu keluarga.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu mempunyai kaitan dengan abangnya yang turut bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN).

“Saya difahamkan abang beliau (Ustaz Kazim) bertanding atas tiket Bersatu di salah satu DUN di Larut jadi saya kira ada hal keluarga la.

“Beliau pula dicadang untuk jadi calon BN di Larut jadi tentunya dia akan berlaga... jadi itu yang mungkin jadi isu di Larut,” katanya ketika ditemui hadir pada Majlis Pengenalan calon BN Johor pada Khamis.

Sebelum ini, penceramah bebas itu mengumumkan untuk tarik diri dari bertanding di kawasan tersebut selepas pihaknya memaklumkan sendiri keputusan itu kepada UMNO Perak.

Keputusan BN untuk meletakkan Mohd Kazim di Larut adalah berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan sesuai untuk berdepan calon PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut.