ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz hari ini  mengumumkan melepaskan jawatan, sebagai menggalas tanggungjawab atas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang turut kecundang di kerusi Parlimen Jerlun berkata, kekalahan BN kali ini menunjukkan satu penolakan mutlak orang-orang Melayu terhadap UMNO ketika ini.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, meletak jawatan.

"Kita perlu baik pulih dari segi kepimpinan UMNO itu sendiri dan saya juga menggesa yang berhormat Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO berfikir secara terbuka, berjiwa besar untuk melepaskan jawatan juga.

"Kerana saya kira orang orang Melayu sendiri telahpun memberi satu petanda yang cukup jelas bahawa mereka bukan sayangkan Perikatan Nasional (PN) itu sangat, tetapi mereka juga dalam masa yang sama tidak bencikan UMNO, tapi kemungkinan mereka tidak sukakan gaya dan cara pemimpin UMNO membawa dan mengemudi parti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya turut menarik diri daripada jawatan itu demi mengambil tanggungjawab bersama.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

IKUTI PAUTAN INI: KEPUTUSAN PENUH PRU15

Dalam keputusan PRU15 semalam, Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah manakala Pakatan Harapan (PH) hanya menang satu kerusi.

Pengundian di Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember depan berikutan kematian calon PH, M Karupaiya, 69, pada Rabu lalu.

Secara keseluruhan pula, BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen di seluruh negara, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata UMNO kini perlu memberi ruang dan peluang kepada muka baharu untuk menerajui parti itu agar tidak menyukarkan lagi keadaan parti selepas ini.

Katanya, biarpun 'nasi sudah menjadi bubur' namun UMNO perlu mengorak langkah untuk memastikan parti itu terus relevan di masa depan.