KUALA LUMPUR: Pembubaran Parlimen bagi membuka ruang kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim tengkujuh dilihat sebagai strategi sesuatu parti politik untuk memastikan peratus keluar mengundi rendah, sekali gus memenangkan parti berkenaan.

Menurut penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat, strategi berkenaan mempunyai kelemahan kerana pada akhirnya rakyat akan sekali lagi bangkit menghukum si pelaku seperti mana yang terjadi pada PRU14 lalu.

"Saya rasa ada pihak rasakan bahawa PRU (perlu) dipercepatkan dalam keadaan pembangkang tidak bersedia dan ada pihak harapkan bahawa keadaan banjir akan menyekat pengundi.

"Ini dapat dilihat kepada keputusan PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor apabila ramai tidak pulang mengundi, maka menguntungkan satu pihak itu," katanya dalam wawancara dengan Buletin AWANI pada Khamis.

[TERKINI] Kesediaan rakyat keluar mengundi pada PRU15


Namun, jelas Chin Huat, strategi itu juga mempunyai kelemahan kerana berdasarkan PRU14 apabila SPR mengumumkan hari mengundi pada Rabu dengan perhitungan untuk kurangkan kadar pengundi, namun, kesan sebaliknya pula berlaku.

"Rakyat marah dan mereka bekerjasama dalam membantu pengundi di luar kawasan untuk balik mengundi.

"Dan perkara sama sekalipun kalau banjir, saya rasa pengundi atas pagar turut akan marah dan menolak parti itu,” kata beliau lagi.

Chin Huat menegaskan, parti yang beria-ia mahukan PRU15 segera diadakan perlu melihat perhitungan sedekikian, sekalipun mereka kurang bertimbang rasa mengenai kesusahan rakyat.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lepas bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini juga.