KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung menubuhkan kerajaan.

Hujah Mohamad, kedua-dua gabungan tersebut mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau juga menjelaskan, Barisan Nasional (BN) sedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab untuk melakukan semak dan imbang kepada kerajaan baharu.

"Walaubagaimanapun, jika bantuan kami diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU ini, kami tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.

"Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Mohamad menjelaskan, BN menerima keputusan rakyat yang menolak gabungan tersebut dan tidak mempunyai kuasa untuk menubuhkan kerajaan.

PH dan PN kini sedang bersaing untuk mendapatkan sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan baharu selepas tidak ada mana-mana gabungan yang mempunyai jumlah yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.

PH memenangi 82 kerusi pada PRU15 lalu manakala PN pula memperolehi 73 kerusi.