ALOR SETAR: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad selesai membuang undi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, di sini hari ini.

Beliau yang tiba kira-kira jam 10.52 pagi bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selesai menunaikan tanggungjawab itu pada jam 10.55 pagi.


Dr Mahathir sebelum itu tiba dari Langkawi selepas melakukan lawatan di dua Pusat Mengundi melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan DUN Ayer Hangat sekitar jam 9 pagi.

Beliau kemudian melakukan sidang media di perkarangan Pusat Mengundi Saluran 1, SK Titi Gajah dan memaklumkan proses pengundian hari ini berjalan lancar.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 20 peratus keluar mengundi setakat 10 pagi - SPR

Tambahnya yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), turut berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat terus mengharamkan penggunaan telefon bimbit di dalam pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Langkah itu tegas beliau dapat mengelakkan pengundi daripada 'membocorkan' undian yang dilakukan mereka semasa proses membuang undi.


"Cadangan (dari) Parti Pejuang (yang) diterima pakai (memang bagus dan perlu diteruskan), apabila tidak boleh bawa telefon bimbit, tidak boleh dedahkan siapa yang diundi, (jika tidak buat itu)," katanya.



Untuk rekod Parlimen Kuala Kedah menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Pejuang dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Didalam pilihan raya lepas, penyandang kerusi, Dr Azman Ismail yang menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat menang di Parlimen berkenaan dengan majoriti besar 13,481 undi menewaskan calon dari Pas dan BN.