TAHNIAH kepada semua pengundi yang menunaikan tanggungjawab anda hari ini. Jika anda membaca artikel ini sebelum jam 6 petang Sabtu (19 November 2022) anda masih punya masa untuk ke pusat pengundian bagi untuk mengundi. Saya harus akui, agak sukar untuk membuat pilihan kali ini.

Jika dibandingkan dengan PRU14, kempen pilihan raya kali ini memang lebih suam. Walaupun ini bukan PRU yang paling panas, ia tetap menjadi PRU yang paling sengit setelah ramai pakar sains politik dan badan pemikir (think tank) menyimpulkan tiada satu pun parti dapat membentuk kerajaan secara tunggal.

Ya, saya harus akui keadaan ini sedikit sebanyak merisaukan saya memandangkan sudah lebih dua tahun politik Malaysia berada dalam keadaan terumbang-ambing setelah “Langkah Sheraton”. Saya juga berasa khuatir jika ketidaktentuan politik akan berlanjutan pasca PRU15 nanti.

'Hung Parliament' boleh mendidik kita menjadi lebih matang

Dengan mempelajari pengalaman dari negara lain yang mengamalkan sistem Westminister, hung parliament tidak semestinya mewujudkan kerajaan yang tidak stabil. Di New Zealand contohnya berdepan dengan keadaan ‘hung parliament’ selepas pilihan raya 2017, di mana pemimpin Parti Buruh Jacinda Ardern berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan parti New Zealand First, sebuah parti yang lebih kecil, tetapi menjadi ‘kingmaker’ pada pilihan raya berkenaan.

Jelas wanita muda ini berjaya mengetepikan perbezaan antara mereka memandangkan memandangkan Parti Buruh lebih bersifat sosialis sementara Parti NZ First lebih bersifat nasional.

Malah kepimpinan kedua-dua ketua parti ini untuk bekerja atas faktor persamaan menyumbang kepada kejayaan Ardern sehingga diiktiraf sebagai pemimpin berkaliber di peringkat dunia.

Di United Kingdom (UK) juga menyaksikan sebuah  kerajaan campuran pasca pilihan raya umum 2010 di mana Parti Konservatif gagal memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan secara tunggal dan terpaksa mengajak Parti Liberal Democrat tubuhkan kerajaan campuran.

Menariknya, kerajaan berkenaan bertahan sehingga sehingga hujung penggal apabila parlimen dibubar semula pada 2015. Rahsianya? Kestabilan ini dipupuk menerusi Perjanjian Conservative–Liberal Democrat Coalition (atau secara rasmi dikenali sebagai The Coalition: Our Programme for Government). Perjanjian ini merupakan dokumen dasar yang menjadi terma rujukan (term of reference) kepada kerajaan campuran itu. 

Berbalik kepada PRU di Malaysia dan kebimbangan hung Parliament dan jikapun keadaan itu berlaku di Malaysia, saya percaya ia tidak akan menyebabkan politik Malaysia menjadi huru hara.

Apa yang nyata, kita sudah belajar daripada masalah yang dihadapi politik negara, lantas berjaya mematangkan sistem demokrasi negara sedikit demi sedikit. Begitupun, perkara berkenaan hanya akan dapat berlaku jika kita bersama-sama keluar mengundi kerana, mandat yang kita mahu beri kepada ahli parlimen kita, harus jelas.

Ketiadaan dominasi, jaminan ahli politik jaga tingkah laku

Saya memuji sikap beberapa pemimpin politik kita yang mengambil pendekatan untuk tidak menyerang rakan sepermainan mereka dari parti lawan. Realiti politik Malaysia hari ini, kempen “syurga neraka” sudah bukan lagi tasteful. Serangan peribadi juga sudah jauh berkurangan. Maki hamun menggunakan bahagian anatomi ibu bapa kita, juga sudah jarang kedengaran.

Sepertimana yang kita lihat pasca Langkah Sheraton, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya menjamin kestabilan dan kelangsungan kerajaan.

Dalam hal ini, ahli politik sudah sedar bahawa bahawa kerukunan dalam kalangan mereka harus dijaga (walaupun dari parti yang berbeza) kerana silap hari bulan, lawan mungkin harus menjadi kawan.

Paradigma baharu ini juga kita dapat saksikan sepanjang kempen dua minggu lalu ini, apabila kempen sudah menjadi semakin matang dan beradab.

Calon bervisi, berintegriti semakin mendapat tempat

Calon-calon baik yang bernama besar mahupun kecil juga berani tampil dengan janji dan ikrar tersendiri, sebagai tambahan kepada manifesto parti. Janji dan ikrar tersendiri ini pada saya lebih bermakna dan berkesan, kerana ia dibuat dengan melihat kepada keperluan penduduk di konstituensi tersebut, tanpa mengambil kira jika calon itu jika menang kelak, akan bersama parti kerajaan atau pembangkang.

Calon juga lebih mengetengahkan track record yang jelas, menampilkan pencapaian dan sumbangan mereka, sama ada menerusi jawatan politik atau bukan. Langkah ini secara tidak langsung mewujudkan budaya baharu dalam kalangan ahli politik, pada masa sama, rakyat juga dilatih untuk memilih berdasarkan kepercayaan atas kebolehan, bukan kebencian kepada pihak lawan.

Kenapa anda harus keluar mengundi walaupun mungkin “hung parliamen” terjadi?

Anggap sahaja politik Malaysia seperti telenovela dengan ratusan episod yang tidak tahu bila kesudahannya. tetapi anda pasti mahu memilih calon yang boleh pegang watak protagonis - yang baik dan berkesan untuk bersama mewujudkan happy ending.

Walaupun mungkin tiada parti yang dapat membentuk kerajaan pada 20 November kelak, anda tetap akan berasa lega jika anda memilih calon yang boleh mewakili anda dalam menentukan episod seterusnya drama politik ini.


* Pandangan penulis dalam artikel ini tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.