ALOR SETAR: Kepimpinan UMNO Bahagian Alor Setar menzahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula dua daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Alor Setar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd Yusof Ismail memaklumkan, dua DUN berkenaan adalah Suka Menanti dan Alor Mengkudu yang telah dimenangi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelas beliau, keyakinan berkenaan adalah berlandaskan sokongan yang diterima BN terutama parti UMNO ketika ini khususnya dalam kalangan pengundi muda dan pengundi yang akan mengundi untuk pertama kali dalam PRU akan datang.

Tambahnya, BN juga akan memperoleh semula sokongan daripada pengundi yang mengundi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang telah membuat keputusan mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya lepas.

"Kita akan menang di DUN Suka Menanti dan Alor Mengkudu, (saya yakin) kita akan menang, jadi daripada apa yang kita buat, program yang kita buat di Alor Mengkudu dan Suka Menanti, dua-dua itu kita confirm menang.

"(Keyakinan itu adalah berdasarkan) keadaan semasa sokongan pengundi (terhadap parti) kita, (pengundi yang sokong BN? pada PRU13 (juga) akan (kembali) bersama kita, so kita dah (buat) perkiraan dah, pada kali ini depa pun tak akan tertipu lagi dengan PH, sebab macam 'you all lah', depa pun dah cerdik dah (untuk tidak undi calon PH)," katanya.

Mohd Yusof berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional PRU15 Peringkat Parlimen Alor Setar di Tapak Bas Bintong, Taman Budiman, Tandop pada Isnin.

Untuk rekod, didalam PRU-14, Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO tewas di dua DUN berkenaan dengan majoriti 6,251 undi di Suka Menanti dan 1,876 undi di Alor Mengkudu.

DUN Suka Menanti dimenangi calon dari PH-PKR, Datuk Zamri Yusof yang memperoleh 13,301 undi manakala DUN Alor Mengkudu dimenangi calon PH-Amanah, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang memperoleh 8,840 undi.