ALOR SETAR: Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail sekali lagi mengulangi ketegasannya agar Barisan Nasional (BN) meletakkan calon daripada parti berkenaan berbanding MCA bagi kerusi Parlimen Alor Setar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, ianya berikutan komposisi pengundi di Parlimen berkenaan yang mana memiliki lebih 65 peratus pengundi Melayu dan hanya 23 peratus pengundi Cina.

Tambah beliau, prestasi yang ditunjukkan MCA yang tumpas dalam beberapa siri PRU sebelum ini juga wajar diberikan pertimbangan untuk kepimpinan BN meletakkan calon UMNO di Parlimen itu.

Tegas Mohd Yusof, berdasarkan kajian yang dilakukan, hampir keseluruhan undi yang diterima MCA di dalam PRU13 dan PRU14 juga adalah daripada kalangan ahli UMNO Parlimen berkenaan.

Selain itu, gerak kerja yang telah dijalankan UMNO sejak 2018 termasuk membantu lebih 40,000 penduduk di kawasan Parlimen itu ketika tempoh pandemik COVID-19 wajar diberikan pertimbangan sewajarnya oleh kepimpinan BN.

"Memang kalau kita tengok rekod yang lepas PRU13 dan PRU14, pengundi yang mengundi calon MCA itu adalah pengundi UMNO, MCA (sebenarnya) tidak mendapat (sokongan daripada) pengundi lain (selain) daripada (kalangan ahli) UMNO (Alor Setar).

"Tetapi kali ini saya rasa suara daripada akar umbi telah menyatakan, mereka nak supaya calon (yang mewakili BN) ini (adalah) daripada UMNO, jadi saya yakin pucuk pimpinan juga mempunyai kumpulan yang menjalankan research dan juga kaji selidik, (mereka) boleh datang ke Alor Setar untuk mencari satu titik tengah bagi memastikan Parlimen ini adalah milik BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional PRU-15 Peringkat Parlimen Alor Setar di Tapak Bas Bintong, Taman Budiman, Tandop pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusof menafikan wujud perseteruan membabitkan kompenen BN di Parlimen itu susulan isu pembahagian kerusi terbabit.

"Dia tak ada masalah, hubungan (komponen BN Alor Setar) tak ada masalah, baru-baru ini saya sudah buat satu perjumpaan mesyuarat dengan komponen, semua datang, jadi masing-masing kita bertukar pandangan (dan) memberi pandangan (masing-masing).

"Saya tengok MIC lebih relevan (dalam kalangan pengundi India). MIC (maklumkan) punya komitmen (untuk) membantu (sepenuhnya kempen BN), macam kita punya, parti-parti yang associate dengan kita seperti KIMMA, Makkal Sakti, (dan) IPF turut memberi komitmen,

"(Ini) disebabkan dalam mesyuarat itu pun kita memutuskan, keputusan daripada pucuk pimpinan itu adalah keputusan yang perlu dipatuhi, kalau di atas buat keputusan itu kita ikutlah, tetapi (saya nak tegaskan) ini kehendak akar umbi (untuk kita berikan UMNO peluang bertanding di Parlimen Alor Setar)," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ketua Bahagian UMNO Alor Setar itu  beberapa kali menggesa kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) digesa untuk meletakkan calon dari parti itu bagi mewakili BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding MCA.

Tindakan itu menurutnya perlu dilaksanakan selepas MCA yang mewakili BN sebelum ini telah mengalami kekalahan ‘teruk’ pada PRU13 dan PRU14 selain jumlah sokongan pengundi Cina juga dilihat semakin berkurangan terhadap calon daripada parti itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan ahli-ahli Barisan Nasional (BN) serta kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan dinasihatkan untuk tidak mempersoalkan dan menyentuh perkara-perkara yang melibatkan soal pembahagian kerusi antara parti-parti kompenan.

Beliau berkata, perbincangan berkaitan hal-hal yang melibatkan perkara itu hanya akan membawa kepada rasa syak wasangka dan tidak puas hati di dalam gabungan tersebut.