KOTA BHARU: UMNO Kelantan bakal menampilkan lebih ramai muka baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi  Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata calon terbabit terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk tokoh agama, akademik, guru dan korporat.

"Barisan Nasional (BN) dan UMNO Kelantan akan memasuki pilihan raya kali ini secara solo, jadi soal calon kita sedang teliti kerana ini perkara penting, kita sedang buat kajian belum tamat lagi.

"Apapun, senarai nama yang kita pilih akan diserahkan kepada presiden parti, kita ada kajian kita, pandangan kita, tapi presiden parti juga ada pandangan dia, ada kajian juga dibuat.

"Kalau boleh kita nak ketengahkan seramai mungkin muka baharu dengan tidak meminggirkan kepimpinan yang ada dan muka lama kerana kombinasi itu amat penting," katanya kepada pemberita selepas pelancaran jentera Veteran UMNO Kelantan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, katanya senarai calon terbabit akan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak lama lagi.

Sementara itu, katanya BN Kelantan menyasarkan untuk bertanding 45  kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menyasarkan kemenangan di 35 kerusi.

"BN juga akan bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen dengan menyasarkan sembilan darinya untuk dimenangi," katanya.

Dalam pada itu, katanya UMNO Kelantan juga menjangkakan PRU15 sengit dengan situasi politik luar jangka serta pelbagai kemungkinan lain.

Ahmad Jazlan berkata, berdasarkan maklum balas daripada akar umbi dan kawasan, berlaku penolakan besar-besaran rakyat Kelantan terhadap Pas.

"Berlaku penolakan rakyat terhadap Pas waktu ini atas pelbagai isu yang tidak dapat diselesaikan selepas lebih 30 tahun Pas memerintah, tiada kesan ketara kepada pembangunan negeri dan tiada perubahan," katanya.