KUALA TERENGGANU : Faktor usia dan populariti seseorang calon tidak penting, namun kebanyakan belia mahu wakil rakyat mereka kelak selalu nampak ‘muka’ atau turun kawasan mereka.

Menurut kebanyakan pengundi yang baharu didaftarkan secara automatik, mereka juga mahukan wakil rakyat yang berperanan mengharmonikan kawasan dengan tidak membezakan parti, warna kulit dan agama.

Astro AWANI sempat menjalankan tinjauan pendapat di sekitar Kuala Terengganu mengenai kriteria pemilihan calon bagi wakil rakyat.

Bagi pelajar universiti awam tempatan, Nur Fatin Alia Pangat, 22, dia mahu wakil rakyat itu aktif, dan sentiasa anjurkan aktiviti kemasyarakatan.

“Wakil rakyat kena selalu nampak ‘muka' di kawasan, dan paling penting anjurkan aktiviti bersifat kemasyarakatan supaya kawasan itu lebih harmoni,” katanya.

Seorang lagi belia ditemui iaitu Hayatul Rafiqi, 21, dia mahukan wakil rakyat yang sentiasa ada bila diperlukan, dan tidak hanya pada suatu ketika sahaja.

“Kami mahukan wakil rakyat itu berada di kawasan, bukan hanya ada waktu bertanding sahaja,” jelasnya.

Bagi Muhammad Afiq Danial Sulaiman, 18, isu belia pastinya harus diberikan fokus oleh wakil rakyat dipilih.

“Jangan hiraukan isu belia, kerana golongan kami ini didepani dengan pelbagai cabaran mendatang terutama dari sudut ekonomi,” katanya.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

Perkara ini turut disokong seorang lagi belia iaitu Muhamad Danial Rosli, 23, yang mahukan pemimpin dipilih kelak mampu menyelesaikan isu sara hidup rakyat.

“Mereka harus berani bersuara di Dewan Rakyat nanti, berjiwa rakyat dan sokong rakyat yang sedang susah dan kukuhkan balik ekonomi negara,” ujarnya.

Keperibadian murni wakil rakyat turut dijadikan kriteria buat Nur Aleya Farhana, 19.

“Saya mahu mereka yang bertanggungjawab, baik hati dan tolong orang susah,” katanya.

Kesemua mereka menyatakan keterujaan untuk mengundi pada PRU15 ni dan akan gunakan ruang dan peluang yang ada untuk memilih pemimpin yang boleh membawa negara ke peringkat lebih tinggi.